KUALA LUMPUR: Kerajaan menambah peruntukan serta meningkatkan kekerapan kerja pembersihan parit dan sungai bagi mengurangkan risiko banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu perlu dipercepat dengan mengambil contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melaksanakan pembersihan parit dan sungai sehingga enam kali setahun berbanding hanya dua kali sebelum ini.

“Keputusan ini dibuat hasil pertemuan saya dengan menteri-menteri dan Kerajaan Negeri Selangor semalam. Saya bermesyuarat di Parlimen kerana masalah yang dihadapi kesan banjir berterusan.

“Saya tidak boleh terima apabila penduduk terpaksa berdepan banjir empat hingga lima kali setahun. Walaupun paras air tidak tinggi, kesannya tetap membebankan rakyat,” katanya Ketika ditemui sejurus selesai menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah, Brickfields, hari ini.