KUALA LUMPUR: Semua agensi berkaitan di Selangor diarah mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan mempercepat kerja pembersihan saliran tersumbat sebagai langkah mengekang risiko banjir berulang di negeri berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata agensi berkaitan juga diarah memperkukuh pemantauan paras air dan sistem amaran awal, selain memastikan projek tebatan banjir dilaksanakan mengikut perancangan.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata beliau menegaskan arahan itu sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor hari ini, yang turut memberikan penekanan serius terhadap penyelenggaraan infrastruktur air secara menyeluruh.

"Sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor, saya menegaskan kepentingan penyelenggaraan sungai, parit dan sistem saliran, termasuk kolam tadahan serta pintu air, bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik," kata beliau dalam catatan itu.