TANGGA BATU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan mencampuri sebarang keputusan kerajaan negeri berhubung kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), termasuk melibatkan wakil parti itu di Kedah.Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara berkenaan adalah hak kerajaan negeri dan parti akan menghormati sebarang keputusan yang dibuat.Menurutnya, sekiranya tiada sebarang keputusan dibuat, wakil Bersatu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan terus menjalankan tugas seperti biasa."Saya tak nak sentuh di sini, tapi apa pun semacam yang di Kelantan ada keputusan, itu hak negeri. Dan kalau di mana-mana negeri kerajaan negeri membuat keputusan, itu adalah hak mereka."Tapi kalau tak dia buat apa-apa keputusan, kita sebagai anggota parti dan juga menjadi ADUN di situ akan bekerja seperti biasa," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program berjalan untuk perubahan DUN Pantai Kundor bersama calon Bersatu bagi kerusi berkenaan, Datin Seri Dr Asmah Samat di Pentas Budaya Pantai Puteri di sini pada Khamis.Beliau mengulas desakan UMNO supaya kedudukan Exco Bersatu di Kedah dikaji semula susulan keputusan kerajaan Kelantan tidak menyambung pelantikan Pengerusi Bersatu negeri itu, Datuk Kamarudin Md Nor sebagai Exco.Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin sebelum ini berkata, keputusan kerajaan Kelantan itu boleh dijadikan asas pertimbangan, selain penilaian terhadap kesesuaian komposisi Exco Kedah berdasarkan perkembangan politik semasa.Sementara itu, mengulas tindakan 150 ahli Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta pada Rabu, Muhyiddin berkata, perkembangan itu tidak memberi kesan kepada kedudukan parti.Beliau menyifatkan mereka yang keluar sebagai sebahagian kecil ahli yang tidak berpuas hati dengan parti."Biasalah, ada yang mungkin tak puas hati ataupun tak tahu ada apa-apa benda yang berlaku di sebalik itu."Bagi saya, tidak akan memberi kesan. Jumlah peratusan yang amat kecil dan saya tak fikir menjejaskan kedudukan parti kita di bahagian itu."Yang keluar Bersatu itu biasalah, yang masuk Bersatu awak tak tulis, beribu-ribu," katanya.