KUANTAN: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kesal dengan tindakan Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar prosiding dan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, beliau menggesa Badan Peguam supaya tidak meneruskan tindakan yang boleh mencetuskan polemik serta menjejaskan penghormatan terhadap institusi diraja.

"Pada masa sama, saya turut membidas hantaran Tony Pua di media sosial yang dilihat memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan dan menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya menggesa pihak berkuasa menyiasat hantaran itu secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang," katanya dalam kenyataan media hari ini.