KOTA BHARU: Kehadiran haiwan laut bercengkerang dipercayai kerang kapak yang menimbun setiap kali ombak datang di kawasan Pantai Sabak, di sini menyebabkan orang ramai berpusu-pusu ke lokasi itu untuk mengutipnya.
Seorang penduduk, Nor Ain Mat, 33, berkata dia diberitahu anak buahnya kira-kira jam 6 petang tadi mengenai kemunculan banyak kerang kapak di tepi pantai.
Katanya, dia segera ke pantai dan terkejut melihat spesis yang belum pernah dilihat itu walaupun bertahun tinggal di tepi pantai.
"Apabila saya membuat 'live' menerusi TikTok, ramai komen memberitahu ia kepah atau kerang kapak dan isinya boleh dimakan, malah sangat mahal harganya.








