SHAH ALAM: Bekas Pengarah Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMShape) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai keseluruhan lebih RM1.55 juta.

Datuk Dr Muhammad Husin, 64, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Ini kali kedua Muhammad dituduh selepas pertuduhan bulan lalu membabitkan kesalahan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan kontrak pekerjaan bernilai keseluruhan RM3.12 juta, empat tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan hari ini, tertuduh didakwa terbabit dalam 21 transaksi pengubahan wang haram itu antara 2022 hingga 2026.