ALOR SETAR – Anak perempuan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor cedera selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Alor Setol dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa berusia 20 tahun yang juga pelajar Kolej Islam Darul Ulum Pokok Sena cedera pada bahagian muka dan tangan kiri, serta disyaki mengalami patah pergelangan tangan kanan.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang tadi apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha XMAX 250 dari arah kolejnya di Pokok Sena menghala ke Alor Setar.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya sehingga menyebabkan ia terbabas ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan malam ini.