BAGAN DATUK – Ribuan ikan bertaburan di atas jalan raya selepas sebuah lori yang membawa muatan itu terbabas akibat tayar belakang tiba-tiba tercabut berhampiran Kampung Kota, dekat Hutan Melintang di sini hari ini.
Kejadian di Kilometer 29, Jalan Feri menghala ke Sabak Bernam itu berlaku kira-kira pukul 6.40 petang, sekali gus menarik perhatian ramai selepas beberapa foto memaparkan ikan bersaiz kecil bertaburan di atas jalan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd. Jali berkata, kemalangan itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa atau kerosakan kenderaan lain.
“Pemandu lori ikan yang berusia 39 tahun juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.









