LIPIS – Pengguna jalan raya bakal menikmati perjalanan lebih lancar apabila laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 3J dari Kampung Seberang Jelai ke Kampung Relong di sini, dibuka kepada orang ramai mulai pukul 11.30 pagi esok.
Pembukaan laluan sepanjang 6.95 kilometer itu dijangka memendekkan masa perjalanan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas, khususnya bagi pengguna jalan raya yang menggunakan laluan berkenaan untuk berulang-alik ke Kuala Lumpur dan Kelantan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemudahan tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 2, 000 penduduk di kawasan sekitar selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
‘Pembukaan laluan berkenaan mampu membantu mengurangkan kesesakan jalan raya, namun ia tidak menyelesaikan masalah itu sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Pembukaan LTU Seksyen 3J di Tapak Projek LTU Seksyen 3J di sini, hari ini.








