MELAKA – Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat gembira dapat kembali bertemu isteri dan ahli keluarga lain selepas empat tahun terpisah, kata anaknya, Nooryana Najwa.

Menurutnya, kepulangan bapanya untuk menjalani tahanan di rumah juga memberi kelegaan kepada bekas Perdana Menteri itu sebaik menjejakkan kaki ke rumah.

“Kami sekeluarga amat bersyukur kerana Datuk Seri Najib pulang ke rumah dan sudah memulakan proses tahanan rumah. Beliau tiba dalam keadaan selamat dan sihat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kami semua kepada pihak penjara yang menjaga beliau dengan baik,” katanya ketika ditemui di Command Centre Parlimen Tangga Batu di sini, hari ini.