WASHINGTON: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian tembakan kira-kira 1.6 kilometer di utara Rumah Putih pada awal Khamis, lapor Xinhua yang memetik media Amerika Syarikat (AS).
Jabatan Polis Metropolitan (MPD), agensi penguatkuasaan undang-undang utama bagi Daerah Columbia, menerusi hantaran di platform X pada pagi Khamis memaklumkan bahawa polis berada di lokasi kejadian melibatkan "penembak aktif" berhampiran persimpangan 15th Street dan P Street Northwest, sambil menggesa orang ramai supaya menjauhi kawasan itu.
Sebahagian besar kawasan berkenaan serta jalan berhampiran telah dikepung.
Menurut laporan NBC4 Washington yang memetik sumber penguatkuasaan undang-undang persekutuan, penembak itu berkurung di tingkat atas sebuah bangunan pangsapuri yang terletak di atas gimnasium tempat kejadian tembakan berlaku. – BERNAMA-XINHUA









