New York: Lapan orang maut manakala sekurang-kurangnya 17 lagi cedera selepas sebuah bangunan tiga tingkat di New York City runtuh pada petang Rabu, menurut Datuk Bandar Zohran Mamdani pada Khamis menerusi platform X, sambil memaklumkan operasi menyelamat masih diteruskan, lapor Xinhua.
Terdahulu, Mamdani berkata pada sidang media bahawa sekurang-kurangnya 10 orang telah dibawa ke hospital berhampiran dengan kecederaan yang berbeza tahap keseriusannya, termasuk empat yang berada dalam keadaan kritikal.
Beliau berkata kira-kira 250 anggota bomba sedang menjalankan operasi di lokasi kejadian.
Jabatan Bomba New York City memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai individu yang terperangkap kira-kira 4 petang (2100 GMT) selepas sebuah bangunan runtuh di pinggir tapak pembinaan di kawasan kejiranan Flatbush, Brooklyn.









