Kudat: Polis menahan seorang lelaki dengan enam rekod jenayah termasuk berkaitan dadah dalam operasi membanteras dadah di Kampung Lodung, di sini, hari ini.

Lebih mengejutkan, pemeriksaan terhadap lelaki berusia lingkungan 30-an yang didapati positif dadah itu turut membawa kepada penemuan sembilan paket plastik lut sinar mengandungi hablur kristal disyaki syabu seberat 51.06 gram disyaki bagi tujuan pengedaran.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, kira-kira jam 2 petang.

Katanya, selain dadah, polis turut merampas sebuah bekas plastik lut sinar, satu beg kecil berwarna hitam dan sebatang straw lut sinar berwarna kuning yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.