LABUAN: Penahanan seorang remaja lelaki yang disyaki mencuri wang tabung masjid membantu polis menyelesaikan empat kes jenayah di sekitar pulau ini.

Suspek berusia 19 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerusi Op Pintu/Kesan, Rabu lalu.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan kehilangan wang tabung di Masjid Sirajul Islam, Kampung Tanjung Aru, pada 20 Oktober lalu.

Katanya, kejadian berkenaan membabitkan kerugian kira-kira RM150.