JUARA bertahan, Miyu Yamashita merampas kedudukan pendahulu Maybank Championship 2026 selepas mempamerkan aksi konsisten dengan catatan enam bawah par 66 pukulan tanpa bogey pada pusingan kedua di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Jumaat.Pemain nombor empat dunia dari Jepun itu mengumpul 13 bawah par 131 pukulan keseluruhan, sekali gus memperbaiki rekod 36 lubangnya dalam kejohanan tersebut sebanyak lima pukulan berbanding edisi lalu.Yamashita yang memburu gelaran ketiga musim ini memperlihatkan ketepatan pukulan apabila berjaya mengenai 12 daripada 14 fairway dan 17 daripada 18 green, selain hanya memerlukan 29 putt.Bagaimanapun, kelebihan dua pukulan itu belum menjamin keselesaan apabila pemain Sepanyol, Julia Lopez Ramirez dan pendahulu hari pertama dari Perancis, Pauline Roussin-Bouchard berkongsi kedudukan kedua dengan catatan 11 bawah par 133 pukulan.Lopez Ramirez menghasilkan lapan birdie biarpun melakukan satu double bogey, manakala Roussin-Bouchard kekal sebagai satu-satunya pemain tanpa bogey selepas 36 lubang.Catatan 133 pukulan itu turut menjadi rekod peribadi terbaik Roussin-Bouchard bagi 36 lubang sepanjang kariernya dalam Jelajah LPGA.Sementara itu, pemain amatur Thailand, Marisa Tojai mencuri perhatian apabila melonjak 36 anak tangga untuk berkongsi kedudukan ke-11 selepas mencatat tujuh bawah par 65 pukulan tanpa bogey.Pada usia 17 tahun, pemain termuda kejohanan itu menghasilkan tujuh birdie untuk merekodkan catatan ketiga terbaik pusingan kedua selepas Carlota Ciganda dari Sepanyol (63) dan A Lim Kim dari Korea Selatan (64).Dalam saingan wakil negara, Liyana Durisic kekal sebagai pemain Malaysia terbaik, manakala Mirabel Ting memperbaiki kedudukannya sebanyak 24 anak tangga untuk berkongsi tempat ke-46 selepas mencatat empat bawah par 68 pukulan.Natasha Andrea Oon dan Kelly Tan pula berkongsi kedudukan ke-65 dengan dua atas par, sementara Genevieve Ling menghuni tangga ke-75 dengan enam atas par.Dengan dua pusingan berbaki, Yamashita kini berada pada kedudukan terbaik untuk mempertahankan gelarannya, namun persaingan masih terbuka dengan pencabar terdekat hanya dipisahkan dua pukulan.