MELAKA: BERSATU menarik diri daripada perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun sebelum ini mengumumkan mahu meletakkan calon di kawasan itu.
Semakan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati kerusi tersebut menyaksikan pertembungan empat penjuru tanpa penyertaan calon daripada BERSATU.
Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Timbalan Pengerusi MIC Melaka, S Nadarajah, bagi mempertahankan kerusi itu menentang tiga pencabar lain.
Mereka ialah Jegasilan Kungamboo daripada Pakatan Harapan (PH), B Laveen daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan Laila Norinda Maon daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).








