KUALA LUMPUR: Penyanyi Tomok masih belum berputus asa menjejaki bekas pemain bes kumpulan New Boyz, Mohd Shukri Mohd Shanushi atau Syuk, demi merealisasikan impian peminat menyaksikan barisan asal kumpulan itu kembali bersatu.
Usaha itu dilakukan menjelang konsert New Boyz yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini, meskipun Tomok mengakui sudah hampir 15 tahun terputus hubungan dengan Syuk sejak kali terakhir mereka bertemu sekitar 2010.
Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 40, berkata, dia sudah berusaha menghubungi Syuk, malah sanggup mengunjungi kawasan kediaman bekas anggota kumpulan itu serta bertemu ibunya, namun masih belum berjaya bercakap secara langsung dengannya.










