KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kajian bagi mengenal pasti kawasan berpotensi sebagai kampung tradisi di Sungai Penchala di sini, termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan.
DBKL memaklumkan kajian menerusi Pelan Kawalan Mikro (PKM) itu bertujuan memelihara identiti dan warisan perkampungan Melayu di ibu negara dengan menilai ciri-ciri perkampungan, pembangunan sedia ada, keupayaan infrastruktur serta kepentingan pemilik tanah dan penduduk setempat.
"Kajian turut mengambil kira kawasan yang telah dibangunkan, pembangunan yang telah memperoleh kelulusan serta tekanan pembangunan di sepanjang jalan utama.
"Penilaian ini penting bagi memastikan cadangan pengezonan yang dikemukakan bersesuaian dengan keadaan dan keperluan setiap kawasan," menurut kenyataan DBKL hari ini.









