Papar: Seorang isteri yang cuba menyelamatkan suaminya selepas dipercayai tergelincir ke dalam kolam kumbahan turut menjadi korban apabila kedua-duanya ditemui meninggal dunia dalam keadaan berpelukan di Kampung Kawari, di sini, hari ini.

Pasangan yang juga pekerja kandang ternakan babi warga Indonesia masing-masing berusia 52 dan 50 tahun dipercayai terjatuh ke dalam kolam berkenaan ketika berada di kawasan tempat kerja mereka.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan kedua-dua mangsa kira-kira jam 11.56 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Papar bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta membantu mengeluarkan mangsa.