KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 laporan berkaitan ancaman keselamatan siber diterima polis sepanjang tempoh 10 hingga 31 Oktober lalu dengan jumlah kerugian keseluruhan direkodkan sebanyak RM79.16 juta.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 kes melibatkan mata wang kripto yang mencatatkan kerugian sebanyak RM42.82 juta akibat daripada kompromi perkakasan dan kehilangan aset kripto.

Beliau berkata dua kes lagi melibatkan kes wang berkurangan dalam akaun bank membabitkan sebuah syarikat dengan nilai kerugian RM14.52 juta, manakala kes kedua merekodkan kerugian sebanyak RM21.80 juta.

“Selain itu, turut dilaporkan kes ancaman siber yang melibatkan penggodaman paparan skrin LED sehingga memaparkan kandungan tidak wajar dan lucah, yang berlaku di Kluang dan Bandar Sunway,” katanya kepada media semalam.