ALOR GAJAH: Umat Islam di Melaka disaran membuat pertimbangan sewajarnya dalam memilih pemimpin dengan mengutamakan aspek integriti dan rekod perkhidmatan demi kesejahteraan kebajikan masyarakat terus terbela.
Perkara itu antara intipati khutbah Jumaat terbitan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertajuk 'Menunaikan Tanggungjawab Demi Masa Hadapan' yang disampaikan di seluruh negeri hari ini, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.
Khutbah itu menyatakan keikhlasan sahaja tidak mencukupi tanpa kemampuan melaksanakan tanggungjawab, justeru pemimpin perlu mempunyai ilmu, kebijaksanaan, pengalaman serta keupayaan menguruskan kepentingan rakyat.
"Pemimpin yang baik adalah mereka yang jujur, bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga, atau kelompok tertentu," menurut khutbah itu.










