Shah Alam: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota mencipta kejutan apabila melangkah ke final Liga Bolasepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 (B-14) Tahun 2026 bersama rakan strategik 100PLUS buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka.

Kejayaan itu hadir selepas menyingkirkan SMK Shah Alam dalam aksi separuh akhir, semalam, sekali gus mengatasi pencapaian terbaik mereka sebelum ini apabila hanya mara hingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2016.

Pada aksi yang berlangsung di Radia Arena, Bukit Jelutong itu, SMK Shah Alam terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Adam Zakwan Mohd Rhadzi di penghujung babak pertama.

SMK Seri Kota bagaimana pun tidak mengalah apabila bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Muhamad Adam Haikal Mohd Fuad pada minit ke-69.