MELAKA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak bersetuju dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa bahawa sejahat-jahat orang Islam yang memerintah tidak akan sezalim orang bukan Islam.Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kenyataan itu bukan sahaja menghina rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, malah mencemarkan imej Islam sebagai agama yang menitikberatkan keadilan.Menurutnya, ukuran seseorang pemimpin seharusnya dinilai berdasarkan amanah, integriti dan keadilan, bukannya agama yang dianutinya."Pemimpin Islam yang rasuah, menyalahgunakan kuasa dan menindas rakyat tetap zalim. Tiada istilah 'zalim yang lebih ringan' dalam Islam."Islam tidak pernah mengajar kita menghalalkan kejahatan seseorang hanya kerana dia seagama dengan kita," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, al-Quran sendiri memerintahkan umat Islam supaya berlaku adil tanpa dipengaruhi kebencian terhadap sesuatu kaum, sebagaimana terkandung dalam Surah al-Maidah ayat kelapan.Katanya, AMK melihat naratif sedemikian sebagai politik lapuk yang hanya mencetuskan perpecahan, sedangkan anak muda Melaka lebih memerlukan perhatian terhadap isu peluang pekerjaan, kos sara hidup, perumahan mampu milik dan masa depan mereka.Tambahnya, Melaka sebagai negeri bersejarah dibina atas semangat keterbukaan dan kepelbagaian sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka."Menuduh rakyat bukan Islam sebagai zalim ketika menagih undi ialah satu pengkhianatan terhadap warisan itu."AMK menyeru semua pihak yang bertanding agar tidak menjadikan agama sebagai alat untuk menimbulkan prasangka dan permusuhan," katanya.Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat Melaka, khususnya golongan muda, supaya keluar mengundi beramai-ramai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan, amanah serta tawaran pembangunan, bukannya sentimen kebencian.