SHAH ALAM - Perjanjian Confidence and Supply Agreement (CSA) antara Kerajaan Madani dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat gagal diterjemahkan kepada sokongan politik dalam kalangan pengundi susulan pendekatan kerjasama secara 'malu-malu' yang tidak dizahirkan secara terbuka.Dapatan kajian Ilham Centre menunjukkan kerjasama yang berlangsung di belakang tabir tanpa penzahiran hubungan politik secara terbuka menyebabkan hala tuju kesepakatan tersebut gagal difahami oleh akar umbi."Pendekatan kerjasama secara ‘malu-malu’ ini mewujudkan ketaksaan dalam kalangan pengundi fence sitter yang tidak dapat mengenal pasti hubungan sebenar antara kedua-dua entiti politik."Ketiadaan mesej bersama menyebabkan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu terus bergerak berdasarkan kesetiaan parti masing-masing tanpa dorongan yang jelas untuk menyatukan sokongan," katanya.Kajian lapangan itu mendapati, berbeza dengan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya diterjemahkan kepada persefahaman jentera serta perpindahan undi, CSA Kerajaan-Bersatu tidak mempunyai mekanisme politik yang cukup berkesan di lapangan.Ilham Centre berpandangan perundingan di peringkat kepimpinan semata-mata tidak memadai apabila pengundi tidak diberikan isyarat jelas mengenai kepentingan dan tujuan kerjasama tersebut.Menurut firma penyelidikan tersebut, kegagalan menjelaskan bentuk kerjasama itu akhirnya merugikan kedua-dua pihak apabila potensi penyatuan undi tidak dapat dimanfaatkan secara optimum.Kajian lapangan itu mendapati dalam sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP), perpecahan undi antara parti yang berkongsi kepentingan politik boleh memberikan kelebihan besar kepada lawan yang berjaya menyatukan sokongan.Justeru, Ilham Centre mengingatkan, pengalaman PRN Melaka memberikan pengajaran bahawa PH dan Bersatu perlu lebih nekad memuktamadkan pakatan pilihan raya secara rasmi sekiranya mahu menjadikan kerjasama tersebut sebagai strategi menghadapi BN-PN."Tanpa kesepakatan jelas dari segi calon, pembahagian kerusi, naratif dan mobilisasi jentera, kerjasama politik sedemikian berisiko kekal sebagai persefahaman elit yang gagal diterjemahkan kepada undi," kongsi firma.