Kuala Pilah: Cadangan mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada 26 November ini masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkara itu disahkan kerabat diraja Negeri Sembilan, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman yang juga dikenali sebagai Ku Adek.
"Belum mendapat perkenan daripada Tuanku. Tadi saya diberitahu Tuanku belum perkenan (Persidangan DUN).
"Beliau (Menteri Besar Datuk Ismail Lasim) juga belum menghadap Tuanku. Saya rasa hari ini pun beliau (Ismail) sibuk," katanya ketika ditemui selepas mengiringi Tuanku Muhriz menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Ulu Bendul, dekat sini, hari ini.









