GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kembali dipalu susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). Pengundi di 28 kawasan bakal memikul tanggungjawab besar menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dalam keghairahan kempen, kibaran bendera parti dan pelbagai janji politik, satu persoalan penting perlu diberikan perhatian, apakah ukuran sebenar untuk memilih wakil rakyat yang berkualiti?

Dari perspektif pentadbiran awam dan analisis dasar, pilihan raya bukan sekadar pertandingan populariti atau retorik politik. Sebaliknya, proses ini menentukan individu yang akan menggubal undang-undang, meluluskan belanjawan serta memantau pelaksanaan dasar kerajaan negeri.