Tangga Batu: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menjadi medan memilih kepemimpinan yang mengutamakan kebajikan rakyat dan masa depan generasi muda, bukannya sekadar perebutan kuasa serta kepentingan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata matlamat utama politik adalah untuk membantu rakyat menerusi dasar dan pembangunan yang mampu meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, rakyat perlu melihat kepentingan jangka panjang negeri dan negara ketika membuat pilihan pada PRN kali ini, khususnya bagi memastikan generasi akan datang mempunyai peluang lebih baik dalam pendidikan, kemahiran dan pekerjaan.
"Pilihan Raya Negeri ini untuk apa? Ini gaduh sana, lawan sana, bubuh poster sana, bubuh sini, untuk apa? Kita kena cari jalan, politik ini nak tolong rakyat. Dan ini betul, saya cakap dari hati," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Melaka Rumah Kita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di sini, hari ini.








