MELAKA: Kerajaan perlu mencari sekurang-kurangnya RM40 bilion setahun bagi menampung subsidi minyak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, harga minyak di Malaysia merupakan antara yang termurah di dunia jika dibandingkan dengan negara-negara pengeluar minyak lain ketika ini.

"Anda bayar RM1.99 (seliter bagi petrol RON95 bersubsidi). Satu tahun saya kena cari RM40 bilion tampung belanja (subsidi) minyak. Sebab itu (harga) minyak di Malaysia itu, paling rendah di dunia.

"(Dibandingkan Malaysia dengan) Brunei sikit sahaja rendah tetapi yang lain Arab Saudi, Qatar (negara pengeluar minyak dunia) semua (harga) lebih tinggi daripada kita," katanya pada program Malam Harapan di Dewan Sekolah Tinggi Pay Fong di sini, malam ini.