KUALA LUMPUR: Alpha IVF Group Bhd menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Pakar penjagaan kesuburan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan bahawa SC telah meluluskan cadangan pemindahan tersebut pada 5 November 2026, di bawah Seksyen 214(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta keperluan penyenaraian bagi syarikat awam tersenarai menerusi proses pemindahan dipercepat.

"SC juga telah mengambil maklum bahawa Alpha IVF telah mematuhi keperluan ekuiti Bumiputera bagi syarikat awam tersenarai selaras dengan penyenaraiannya di Pasaran ACE.

"Cadangan pemindahan ini akan berkuat kuasa serta-merta selepas dua hari urus niaga penuh dari tarikh pengumuman mengenai tarikh pemindahan itu dibuat kepada Bursa Securities melalui Bursa LINK," katanya.