KUCHING – Wakil negara, Kuching City mencipta sejarah tersendiri apabila meraih kemenangan pertama di pentas Asia selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Gangwon FC 2-0 pada aksi keempat Kumpulan H Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) di Stadium Taha Ariffin, sebentar tadi.
Lebih manis, kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak melunaskan dendam selepas tewas 0-1 pada pertemuan pertama di tempat lawan, sekali gus membuktikan The Cats bukan sekadar mahu menjadi pasukan pelengkap jadual dalam penampilan sulung di pentas Asia.
Kejayaan ini juga tidak hanya membawa makna besar kepada sejarah The Cats dan reputasi kelab Malaysia di pentas antarabangsa, malah mengekalkan peluang Kuching City untuk layak ke pusingan seterusnya.








