JAKARTA – Penduduk di sekitar Jalan Tole Iskandar, Kota Depok, wilayah Jawa Barat dikejutkan dengan insiden seekor ular sawa sepanjang 2 meter melilit sebuah transformer elektrik sehingga mencetuskan litar pintas, lapor saluran berita Lambe Turah.
Kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah malam (waktu tempatan) semalam itu menyebabkan bekalan elektrik terputus hampir sejam dengan kawasan sekitar bergelap seketika.
Ketua Kawalan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (DPKP) Kota Depok, Tessy Haryati berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan penduduk.
“Pihak kami menerima laporan bahawa seekor ular sawa berada di atas transformer yang mengakibatkan litar pintas serta gangguan bekalan elektrik,” katanya ketika dihubungi media tempatan.









