ALOR SETAR: Seramai 615 usahawan mikro asnaf di Kedah menerima perlindungan takaful bernilai RM73,800 menerusi Program i-TEKAD bagi membantu mereka menghadapi risiko kewangan tidak dijangka.
Program dilaksanakan menerusi kerjasama Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) itu bertujuan memperluas akses perlindungan kewangan kepada usahawan mikro asnaf yang mengikuti program pembangunan keusahawanan seliaan LZNK.
Program berkenaan dilancarkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dr Mohd Faisal Mustaffa, di sini, baru-baru ini.
Sumbangan perlindungan berjumlah RM73,800 itu disalurkan menerusi kerjasama pelbagai pihak, termasuk peserta Takaful IKHLAS melalui platform pengumpulan dan pengagihan dana patuh Syariah, IKHLAS Barakah House (IBH), LZNK serta geran kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM).









