Alor Gajah: Harapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia antara kerusi yang menyumbang kepada kemenangan parti itu menjadi pembakar semangat kepada calonnya, Ahmad Norazril Abdul Aziz untuk memberikan yang terbaik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahmad Norazril berkata, harapan itu tidak dianggap sebagai tekanan, sebaliknya menjadi dorongan kepada dirinya dan jentera parti untuk memastikan kemenangan BN di kerusi berkenaan.
"Tiada (tekanan). Ia bukan membabitkan tekanan, tapi satu semangat apabila Pengerusi BN Melaka (Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh) sendiri hadir memberikan semangat kepada calon dan juga kepada jentera-jentera yang ada.
"Dengan gerak kerja jentera yang ada, kita tentunya fokus untuk mengeluarkan pengundi dan meyakinkan mereka untuk mengundi Barisan Nasional pada 14 hari bulan nanti," katanya ketika ditemui sempena lawatan Ab Rauf ke DUN Rembia, di sini, hari ini.








