Kuala Lumpur : Industri makanan dan minuman (F&B) tanah air melangkah ke era baharu apabila Taste & Trade 360 (TT360) 2026 secara rasminya melancarkan trak makanan elektrik (EV) pertama di Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara pameran perdagangan tiga hari yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin itu menghimpunkan 260 reruai pameran membabitkan pembekal tempatan dan antarabangsa.
Trak makanan EV yang dikuasakan oleh X-Miles menerusi kolaborasi strategik bersama syarikat automotif Chery itu menggabungkan mobiliti mesra alam dengan kelengkapan dapur komersial serba lengkap.
Penggunaan sistem elektrik bagi menjana kuasa pencahayaan dan peralatan mengurangkan kebergantungan kepada penjana kuasa berkuasa bahan api konvensional, sekali gus menawarkan konsep perniagaan sedia-untuk-dikendali yang lebih jimat kos dan mampan.








