Alor Gajah: Jentera Barisan Nasional (BN) Melaka perlu memastikan pengundi yang dikenal pasti menyokong parti itu keluar mengundi seawal mungkin pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, penyelarasan gerak kerja khususnya di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) penting bagi memastikan semua petugas bersedia menggerakkan pengundi berkenaan sebelum jam 12.30 tengah hari.
"Dengan itu, pergerakan di peringkat PDM akan lebih teratur menerusi arahan supaya semua petugas yang bertugas pada hari pengundian bersedia bergerak seawal mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, hari ini.








