Kuala Lumpur: Jumlah rumah sembelihan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bergantung kepada bilangan premis yang mengemukakan permohonan serta berjaya memenuhi keperluan dan standard pensijilan halal ditetapkan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata Pensijilan Halal Malaysia (PHM) adalah mekanisme pengesahan yang dilaksanakan menerusi proses permohonan, semakan dan verifikasi dokumen, pengauditan serta penilaian pematuhan terhadap keperluan hukum syarak dan standard berkaitan.
"Dalam konteks rumah sembelihan, penilaian dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi semua aspek operasi dan keperluan PHM termasuk pematuhan terhadap hukum syarak dalam kaedah penyembelihan, kebersihan dan keselamatan, pengendalian haiwan, kemudahan premis, peralatan, pengurusan operasi serta pelaksanaan Sistem Jaminan Halal.








