PETALING JAYA – Tindakan pantas seorang pemandu mengundurkan keretanya bagi mengelak sebuah khemah yang diterbangkan angin ketika ribut kuat di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang, mencuri perhatian pengguna media sosial.
Menerusi rakaman video yang tular di aplikasi Threads, kejadian itu dipercayai berlaku ketika hujan lebat berserta angin kencang melanda kawasan berkenaan sehingga menyebabkan jarak penglihatan menjadi terhad.
Rakaman tersebut memperlihatkan sebuah kereta berwarna hitam sedang melalui jalan raya sebelum pemandunya bertindak mengundurkan kenderaan dengan pantas bagi mengelak khemah yang dipercayai diterbangkan angin.
Keadaan itu turut mencetuskan kebimbangan apabila struktur khemah berkenaan dilihat berada berhampiran laluan kenderaan, sekali gus berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan raya.










