Kuala Terengganu: Belum pulih daripada kehilangan anak lelaki akibat lemas tiga tahun lalu, seorang warga emas diuji sekali lagi apabila kediamannya musnah dalam kebakaran membabitkan lima rumah milik lima beradik di Kampung Laut, di sini, hari ini.

Lebih menyedihkan, kebakaran itu menyebabkan tiga beradik kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka musnah antara 80 hingga 100 peratus, manakala dua lagi mengalami kerosakan kira-kira 10 peratus.

Ismail Mustapa, 62, berkata, dia masih terkesan dengan pemergian anak lelakinya yang meninggal dunia ketika berusia tiga tahun selepas lemas di sungai berhampiran rumah mereka.

Abangnya, Kamaruddin Mustapa, 65, pula kehilangan isteri kira-kira setahun lalu.