JAKARTA – Kos perkhidmatan pengusungan kecemasan mencecah Rp14 juta (RM3,000) bagi seorang pendaki di Gunung Merbabu, Jawa Tengah, mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, lapor saluran berita Radar Kediri.

Isu tersebut mula tular selepas video yang dimuat naik oleh akaun Instagram @porter.akamsi.prau dan @agilap22 memaparkan khidmat membawa turun pendaki menggunakan pengusung menerusi laluan Gancik dalam satu pakej pendakian peribadi.

Jumlah bayaran itu serta-merta menarik perhatian ramai apabila ia dilaporkan hanya melibatkan perkhidmatan mengangkat semata-mata, tidak termasuk bekalan logistik serta keperluan sampingan lain sepanjang operasi memindahkan mangsa.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut dengan kadar bayaran yang disifatkan luar biasa tinggi.