KUALA LUMPUR: Syarikat teknologi kewangan (fintech), Skyro, melancarkan perkhidmatan pinjaman tunai digital di Malaysia, menawarkan pembiayaan sehingga RM1,000 kepada pemohon kali pertama yang layak dengan proses permohonan sepenuhnya menerusi aplikasi mudah alih.
Kemudahan pembiayaan jangka pendek itu ditawarkan pada kadar faedah tetap 1.5 peratus sebulan dengan tempoh bayaran balik selama empat bulan, bagi membantu pengguna memenuhi keperluan kewangan harian dan perbelanjaan luar jangka.
Skyro dalam kenyataan berkata, pelancaran produk berkenaan menandakan pengembangan operasinya ke Malaysia, yang menjadi pasaran kedua syarikat itu di Asia Tenggara selepas Filipina.
Katanya, syarikat merancang meningkatkan had pembiayaan secara berperingkat, dengan sasaran jangka panjang menawarkan pinjaman sehingga RM10,000.








