Bintulu: Kecemerlangan dalam kepimpinan mahasiswa, kesukarelawanan dan khidmat masyarakat melayakkan Muhammad Alif Ashraf Razman, 20, mencipta sejarah sebagai penerima pertama Pingat Emas Alumni Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) bagi Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS).
Anak kelahiran Kepong, Selangor itu menerima pengiktirafan berkenaan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 Sidang 1, hari ini, selepas menunjukkan pembabitan aktif dalam pelbagai program pembangunan mahasiswa dan komuniti sepanjang pengajiannya.
Graduan Diploma Pengurusan Perladangan Makanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan itu berkata, dia tidak pernah menyangka usaha dan pembabitan sepanjang berada di universiti membolehkan dirinya menjadi penerima sulung anugerah berkenaan.









