KUALA LUMPUR: Teknologi pengimejan telefon pintar bakal digunakan untuk membuka lebih banyak peluang kepada pembikin filem dan pencipta kandungan tempatan menerusi dua kerjasama dimeterai HONOR bersama FINAS serta Tourism Malaysia.

HONOR dalam satu kenyataan berkata, dua Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan bertujuan menyokong pembangunan bakat kreatif, di samping mengetengahkan destinasi, budaya dan warisan Malaysia kepada khalayak antarabangsa melalui penceritaan sinematik.

Menerusi kerjasama itu, HONOR Magic9 Pro Max diumumkan sebagai Telefon Pintar Pengimejan Sinematik Rasmi Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dan Tourism Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.

MoU antara HONOR dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang disaksikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menggabungkan pembangunan industri perfileman dengan teknologi pengimejan berasaskan kecerdasan buatan (AI).