SHAH ALAM: Lelaki warga asing yang menyerang anggota polis sehingga putus pergelangan tangan di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, Rabu lepas disyaki mengalami gangguan mental, kata Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.

“Berdasarkan laporan yang dibuat oleh salah seorang kenalan suspek, suspek dipercayai mempunyai gangguan mental dan mengamuk di premis kediaman…maka tindakan (seterusnya) polis, bomba dan KKM (Kementerian Kesihatan) pergi untuk melihat, menilai dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Media semalam melaporkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun parah selepas ditetak lelaki warga asing dalam kejadian kira-kira 7 petang itu.