KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menetapkan 24 November ini bagi pendengaran permohonan peguam kepada Harith Iskander yang berhasrat untuk menarik diri daripada mewakili pelawak itu.Ia berhubung kes saman fitnah yang difailkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor susulan dakwaan menjadi mangsa penghinaan fizikal atau 'body shaming' menerusi satu persembahan komedi, Januari lalu.Peguam Rosmah, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff berkata, pengurusan kes berkenaan diadakan bagi permohonan peguam pemenang pertandingan 'Funniest Person in The World pada Disember 2016' itu untuk menarik diri sebagai peguamcara."Pendengaran permohonan kelak, akan dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom."Tarikh itu ditetapkan ketika pengurusan kes di hadapan Hakim, Arziah Mohamed Apandi pada Jumaat," katanya yang hadir bersama peguam, Nur-Diana Ezlyn Hashim bagi pihak Rosmah.Turut serta dalam prosiding berkenaan ialah peguam, Sangeet Kaur Deo dan Harkiranjit Kaur Manjit Singh hadir mewakili Harith sebagai defendan.Dalam pada itu, Sangeet Kaur memaklumkan bahawa, pihaknya memohon perkara berkenaan di mahkamah."Ya, kami memohon untuk menarik diri sebagai peguamcara," katanya ketika dihubungi media.Sebelum ini, Rosmah memfailkan saman fitnah terhadap Harith di Mahkamah Tinggi susulan dakwaan menjadi mangsa penghinaan fizikal menerusi satu persembahan komedi.Berdasarkan pernyataan tuntutan, Rosmah, 75, mendakwa saman itu berkaitan persembahan 'stand-up comedy' bertajuk 'Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour' yang berlangsung di sebuah hotel di Melaka pada 17 Januari lalu.Rosmah mendakwa, Harith memaparkan imej makhluk mitologi menyeramkan seperti toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan gambarnya sebagai sebahagian daripada naratif jenaka.Beliau turut mendakwa, kenyataan Harith yang mengaitkan imej seseorang yang menakutkan ketika melihat cermin pandang belakang sewaktu memandu di jalan gelap merujuk kepada dirinya.Menurut Rosmah, tindakan itu memberi gambaran rupa paras dikaitkan dengan makhluk menyeramkan, sekali gus menjadikannya bahan ejekan dan penghinaan di hadapan khalayak.