KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) menjelaskan tiada sebarang perbincangan rasmi diadakan dengan kerajaan berhubung kemungkinan mengambil alih bahagian pasaran domestik atau pesawat milik AirAsia Group Bhd.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar, berkata pihaknya tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada kerajaan atau mengadakan perbincangan mengenai pengambilalihan pesawat AirAsia.
"Tiada sebarang permintaan rasmi daripada kerajaan dan tiada perbincangan untuk mengambil alih pesawat daripada AirAsia juga.
"Bagaimanapun, sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines mempunyai tanggungjawab memastikan kesalinghubungan udara dalam dan luar negara terus terpelihara," katanya ketika ditemui pada majlis Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) di sini, hari ini.






