Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 November ini untuk pendengaran permohonan peguam pelawak dan pelakon, Harith Iskander bagi menarik diri daripada mewakili selebriti itu.

Ia berhubung kes saman fitnah yang difailkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor susulan dakwaan menjadi mangsa penghinaan fizikal atau body shaming menerusi satu persembahan komedi, Januari lalu.

Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Rosmah ketika dihubungi mengesahkan prosiding pendengaran permohonan itu akan dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada jam 2.15 petang.

"Tarikh berkenaan ditetapkan pada prosiding pengurusan kes secara dalam talian hari ini yang dihadiri peguam Nur-Diana Ezlyn Hashim bagi pihak Rosmah selaku plaintif, manakala Sangeet Kaur Deo dan Harkiranjit Kaur Manjit Singh hadir mewakili Harith Iskander sebagai defendan," katanya dalam pengurusan kes di hadapan Hakim Arziah Mohamed Apandi.