Rome: Inter Milan terus memberi tekanan dalam perebutan kejuaraan Serie A apabila menewaskan Como 2-0 untuk merapatkan jurang kepada satu mata di belakang pendahulu, Lazio yang sekadar seri 1-1 dengan Napoli, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Inter kembali menduduki tangga kedua selepas menamatkan rentak enam kemenangan berturut-turut Como dalam semua pertandingan, termasuk kejayaan membelasah Lens 9-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Rabu lalu.

Francesco Pio Esposito membuka tirai jaringan pada minit ke-12 selepas menyudahkan hantaran Djed Spence sebelum Marcus Thuram menggandakan kelebihan tuan rumah menerusi rembatan kencang pada minit ke-20.

Como kendalian Cesc Fabregas gagal memberikan tindak balas meyakinkan apabila Inter terus mengawal permainan, malah Federico Dimarco dan Thuram hampir menambah jaringan pada babak kedua sebelum percubaan Nico Paz menggegar palang pada penghujung perlawanan.