PRAGUE – Mikel Arteta mengingatkan pemain Arsenal supaya tidak mengulangi kesilapan sama selepas kemenangan 2-1 ke atas Slavia Prague dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) hampir bertukar menjadi detik mencemaskan buat pasukannya awal pagi semalam.
Arsenal memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila Noni Madueke membuka jaringan sebelum Viktor Gyokeres menambah gol kedua pada babak pertama, namun prestasi mereka merosot selepas rehat sehingga memberi ruang kepada tuan rumah untuk bangkit.
Pengendali Arsenal itu mengakui pasukannya mempamerkan dua aksi berbeza dalam perlawanan tersebut dengan persembahan berkualiti pada separuh masa pertama gagal diteruskan selepas rehat.
“Saya sangat gembira dengan keputusan ini kerana bukan mudah untuk menang di tempat lawan dalam saingan Liga Juara-Juara. Pada separuh masa pertama, kami menunjukkan standard yang luar biasa, kualiti tinggi dan tempo permainan yang pantas,” katanya.










