ALOR SETAR: Kelewatan jadual penanaman padi dan ancaman fenomena cuaca panas melampau (El Nino) pada tahun hadapan dijangka mencetuskan krisis keterjaminan makanan jika langkah proaktif tidak diambil segera.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata jadual penanaman padi ketika ini terjejas teruk apabila hanya 10 hingga 20 peratus pesawah dapat mula menabur benih pada bulan ini, berbanding kebiasaannya proses pembajaan sepatutnya sudah selesai.

Katanya, keadaan itu memburukkan lagi situasi memandangkan pesawah bakal berdepan masalah ketiadaan pengairan berikutan takungan Empangan Muda di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dilaporkan mengalami penyusutan yang kritikal.