Ketua jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Shukor Adan melihat skuad kendaliannya mempunyai peluang untuk layak ke pusingan akhir dengan syarat mencatat kemenangan dalam semua aksi peringkat Kumpulan E pada saingan Kelayakan Piala Asia B-17 2027 yang akan bermula Ahad ini.

Jelasnya, biarpun India dilihat sebagai pasukan pilihan, Shukor yakin dengan kemampuan anak didiknya untuk menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan, sekali gus memastikan tiga mata penting menjadi milik mereka.

Katanya, setiap pasukan dalam Kumpulan E juga harus diberikan perhatian dan tidak boleh melakukan kesilapan kerana perkara itu pasti akan memberi kerugian besar dalam usaha memburu slot ke peringkat seterusnya.